
KUCHING: Patung dewi Mazu dari Kuil Leluhur Mazu di Pulau Meizhou, China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini dan disambut meriah oleh ahli Persatuan Hokkien Kuching serta para penganut yang memenuhi kawasan ketibaan sejak pagi tadi.
Majlis sambutan rasmi di zon ketibaan VIP turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCAS) Dato Sri Richard Wee Liang Chiat, bersama kepimpinan persatuan serta delegasi khas dari Meizhou yang mengiringi patung suci tersebut ke Sarawak.
Menurut Richard Wee, patung berkenaan yang dibawa khas dari Kuil Leluhur Mazu di Pulau Meizhou melambangkan kesinambungan warisan kepercayaan yang telah lama terjalin antara kedua-dua komuniti.
“Patung suci Mazu ini dibawa khas dari Kuil Leluhur Mazu di Pulau Meizhou, China sebagai lambang kesinambungan warisan kepercayaan yang telah diamalkan sekian lama, dan ia amat bermakna kepada komuniti Hokien di Kuching,” katanya.

Sejurus ketibaan, patung berkenaan akan memulakan ‘Festival Perarakan Maharani Syurga Mazu’ yang melibatkan perjalanan ziarah ke 10 tokong di sekitar Kuching sebelum berakhir di Muara Tebas.
Beliau turut menjelaskan bahawa perarakan tersebut membawa makna lebih besar daripada sekadar acara keagamaan.
“Perarakan yang merentasi 10 tokong di sekitar Kuching hingga ke Muara Tebas ini bukan sekadar acara keagamaan, tetapi juga satu perjalanan budaya yang menyatukan komuniti dalam semangat perpaduan, hormat-menghormati dan tradisi yang diwarisi turun-temurun,” katanya lagi.
Patung Mazu itu diarak menggunakan kenderaan berhias khas, diiringi paluan gendang tradisional, pembawa bendera serta persembahan tarian singa yang memeriahkan suasana sepanjang laluan.
Antara lokasi persinggahan termasuk Tokong Sheing Seng Sungai Apong, Tokong Heng Ann Thian Miau Bintawa, Tokong Tiong Hock Kiong Petanak, Tokong Ah Ma Hu, Wisma Kuching Hing Ann Thien Hoe Kong, Tokong Tua Pek Kong Siew San Teng Kuching, Tokong Hiang Tiang Siang Ti, Tokong Hin Ho Bio Persatuan Hainan Kuching, Tokong Hong San Si dan berakhir di Kuching Hokien Association Mazu Temple.


Menurut persatuan, upacara penempatan patung serta ritual tradisional tiga persembahan akan diadakan sebaik ketibaan di kuil berkenaan pada sebelah petang.
Terdahulu, delegasi lima anggota Persatuan Hokien Kuching telah ke Pulau Meizhou dari Isnin lalu hingga semalam (6 Mei) bagi menerima sendiri patung suci tersebut sebelum diiringi pulang ke Kuching.
Bersempena sambutan ulang tahun kelahiran Mazu, persatuan turut merancang Majlis Sambutan Hari Jadi Mazu pertama di Qing Shan Yan Mazu Temple pada Sabtu ini (9 Mei), manakala majlis perasmian rasmi Kuil Mazu Persatuan Hokien Kuching dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober depan sempena memperingati hari kenaikan Mazu ke kayangan.
Oleh Norman B