
KUALA LUMPUR: Walaupun sudah mencecah usia 55 tahun, kualiti suara vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim terus menjadi perhatian peminat yang menyifatkan vokalnya kekal padu dan sama seperti dahulu.
Persembahan konsistennya turut menjadi topik perbualan dalam kalangan peminat yang mengagumi keupayaannya mengekalkan kualiti vokal meskipun sudah lebih 30 tahun bergiat dalam industri muzik dan berdepan masalah kesihatan.
Menjawab persoalan itu, Zamani berkata disiplin menyanyi setiap hari menjadi antara faktor utama bagi memastikan kotak suaranya sentiasa “terlatih” dan tidak hilang rentak.

“Saya tidaklah amalkan sebarang petua, tetapi setiap hari saya akan menyanyi. Jika hari itu tiada persembahan, saya tetap menyanyi di rumah.
“Jadi, bila hari-hari menyanyi, kotak suara itu sudah terbiasa. (Perkara ini kerana) Kalau tidak menyanyi tiga hari, saya memang susah nak nyanyi,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Zamani berkata selagi dikurniakan suara yang baik, fokusnya adalah untuk memberikan persembahan terbaik di pentas dan meraikan peminat.
Mengulas tahap kesihatannya, pelantun lagu Kurnia itu mengakui masalah tulang belakang atau scoliosis yang dihidapinya sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pernafasan, terutama ketika berdiri atau menyanyi dalam tempoh yang panjang.

Beliau berkata keadaan itu memerlukannya lebih berhati-hati dalam mengawal stamina bagi memastikan persembahan tidak terjejas.
“Sekarang saya sihat. Alhamdulillah, saya baik sahaja, cuma ‘habit’ saya yang sudah terbiasa duduk membongkok membuatkan saya kelihatan begitu,” katanya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Kluang, Johor tersebut memberitahu yang beliau memperlahankan sedikit jadual kerjayanya bagi memberi tumpuan kepada persediaan menjelang konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 Jun depan.
Beliau berkata tempoh itu digunakan untuk memberi ruang kepada badan berehat serta memastikan tahap stamina berada dalam keadaan terbaik sebelum kembali ke pentas.- Bernama