LAWAS: Pasukan penyelam dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Bomba Wilayah Persekutuan Labuan kini berada di lokasi kapal kargo karam di laut Awat-Awat dalam usaha mencari juragan kapal yang masih hilang.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai
Zauyik Anang Fatmanto, 42 tahun iaitu juragan kapal SALIM 6, yang karam di perairan Lawas awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan yang berada di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti Awat-Awat berkata keluarga mangsa di Indonesia telah dimaklum oleh pihak majikan.
“Mereka bersama pihak majikan berterima kasih atas tindakan pantas pasukan SAR Lawas yang diketuai PDRM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, APM dan pasukan keselamatan Sarawak,” katanya kepada Utusan Sarawak sebentar tadi.
Dalam kejadian itu, enam kru berjaya menyelamatkan diri menggunakan ‘lifecraft’ atau rakit penyelamat ke Kampung Awat-Awat dan dibawa ke APMM Labuan.
Liong berkata mereka yang selamat itu akan dibawa ke Lawas dari Labuan untuk diambil kenyataan sebelum diserah kepada pihak kedutaan dan majikan.
“Enam orang yang selamat itu adalah saksi utama yang akan kita ambil keterangan sebelum kita serah kepada pihak kedutaan.
“Lima kru adalah warga negara Indonesia dan seorang warganegara Malaysia,” katanya
Liong berkata pihaknya telah mendapat maklumat lengkap daripada pemilik kapal kargo berkenaan yang mengesahkan kapal malang bersaiz 193 kaki dan 40 kaki tinggi dengan tiga dek iaitu satu ruang kargo, dek kedua ialah bilik tidur dan dek atas untuk kawalan kapal.
Oleh ADENG EDRUS