PERSEKUTUAN Bolasepak Brazil (CBF) semalam mengumumkan bahawa ia akan membayar lelaki dan wanita dengan jumlah gaji yang sama untuk mewakili pasukan kebangsaan, salah satu daripada beberapa negara yang membuat janji sedemikian.
“CBF menyamai hadiah wang dan elaun antara bola sepak lelaki dan wanita, yang bermaksud pemain wanita akan memperoleh pendapatan yang sama dengan lelaki,” kata presiden persekutuan Rogerio Caboclo.
Ini bermaksud pemain wanita Brazil yang kurang dikenali seperti Marta, Formiga dan Leticia Santos akan menerima bayaran dan elaun yang sama seperti bintang global termasuk Neymar, Gabriel Jesus dan Roberto Firmino.
Australia, Norway dan New Zealand adalah antara negara yang sebelumnya memutuskan untuk membayar lelaki dan wanita antarabangsa mereka dengan jumlah yang sama.
Pada Mac 2019, pasukan wanita Amerika Syarikat (AS), penyandang juara dunia ketika ini, menyaman persekutuan mereka yang didakwa mengamalkan diskriminasi ke atas gaji dan syarat. Seorang hakim menolak kes mereka pada Mei tahun ini tetapi pasukan itu mengemukakan rayuan.
CBF mengatakan keputusannya disampaikan kepada pasukan wanita dan jurulatih mereka dari Sweden, Pia Sundhage pada Mac lalu.
“Ini sejarah. Menjadi sebahagian daripada ini sangat istimewa, saya sangat berterima kasih,” kata Sundhage, yang juga menyambut baik berita bahawa untuk pertama kalinya seorang wanita, Duda Luizelli, ditugaskan untuk menyelaraskan pasukan wanita kebangsaan.
Gaji yang sama mula-mula diterapkan pada Mac ketika Brazil mengambil bahagian dalam kejohanan jemputan Tournoi de France, menduduki tempat terakhir daripada empat pasukan.
Langkah ini akan diterapkan ke atas pasukan kebangsaan yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik yang akan diadakan di Tokyo tahun depan, dan juga kejohanan Piala Dunia lelaki dan wanita berikutnya.
Pasukan lelaki merupakan yang paling berjaya dalam bola sepak antarabangsa setelah memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali.
Mereka juga memenangi kejuaraan benua mereka, Copa America, sembilan kali, terakhir di negara sendiri pada 2019.
Tetapi pasukan wanita juga antara yang terkuat dalam permainan, setelah mara ke final Piala Dunia pada 2007 dan final Olimpik berturut-turut pada 2004 dan 2008. – AFP