KUCHING: Kerajaan digesa supaya memastikan sektor logistik siapsiaga untuk memenuhi permintaaan penghantaran yang dijangka meningkat berikutan aktiviti e-dagang yang semakin meningkat.
Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kho Teck Wan berkata wabak pandemik Covid-19 menggalakkan peningkatan penggunaan teknologi maklumat di dalam perniagaan, pendidikan dan sektor kerajaan di negara ini.
Namun demikian, Kho berkata banyak syarikat penghantaran yang masih belum lagi habis membuat penghantaran barangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lalu.
“Kita masih mendengar rungutan daripada pelanggan yang mereka masih belum menerima barangan yang ditempah sejak beberapa bulan lepas,” kata Kho.
Tanpa sistem logistik dan penghantaran yang cepat dan berkesan, aktiviti e-dagang tidak akan berjaya, tegasnya.
“Walaupun saya gembira dengan pengumuman Perdana Menteri sebanyak RM700 juta geran dan pinjaman akan diberi untuk mentransformasi perniagaan kecil dan sederhana (PKS), saya bagaimanapun berasa jumlah tersebut adalah tidak cukup,” tambah Kho.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM500 juta adalah dalam bentuk pinjaman mudah untuk PKS menggunapakai transformasi teknologi.
Kho menambah 98.5% daripada perniagaan di Malaysia adalah PKS dan berdasarkan itu, beliau percaya jumlah sebanyak RM500 juta adalah amat kecil untuk membuat sebarang perubahan.
“Memang bukan semua PKS yang akan menggunapakai transformasi teknologi tetapi jika 20% daripada mereka membuat pinjaman yang diberikan, maka setiap daripada mereka ini cuma akan mendapat RM2,500 yang tidak cukup untuk membuat transformasi kepada teknologi maklumat.
“Kajian yang dibuat oleh SME Corporation, kebanyakan perniagaan PKS di Malaysia tidak dapat bertahan dengan aliran wang yang sedia ada untuk tempoh tiga bulan dan kurang daripada 1% daripada mereka hanya dapat bertahan sehingga tempoh satu tahun.
“PKS menyumbang lebih satu pertiga daripda Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tetapi ia menyumbang kepada 65% daripada jumlah pekerjaan di negara ini,” jelas Kho.
Jadi, adalah penting untuk kerajaan memastikan sektor itu bertahan dan kekal semasa krisis, kata Kho.