
LINGGA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan agenda pembangunan di negeri ini dan Bahagian Sri Aman amnya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga khasnya dapat diteruskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata KMKK yang dilantik memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan di dalam sesebuah kawasan dengan memberi kerjasama yang baik terhadap kerajaan bagi memudahkan perancangan pembangunan di kawasan mereka.
“Saya menggesa semua KMKK khasnya lantikan baharu agar memikul tanggungjawab masing-masing dengan penuh telus, ikhlas, amanah dan juga berintegriti. Kepimpinan andalah yang akan menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
“Bijaklah dalam menangani permasalahan dan sekiranya tidak pasti, rujuklah kepada sumber yang sahih dan tepat dari agensi yang berkaitan,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum DUN Lingga di Pejabat Daerah Lingga, petang kelmarin.
Dayang Noorazah berkata pemimpin masyarakat mempunyai tugas amat mencabar membimbing masyarakat di peringkat akar umbi dalam segala aspek dan mereka yang memegang jawatan itu terdiri daripada individu terpilih dipercayai mampu menjadi penggerak rakyat di peringkat akar umbi.
“Pemilihan pemimpin tidak dibuat secara sembarangan tetapi melalui proses jangka panjang selain kajian mendalam sebelum pelantikan seseorang pemimpin masyarakat itu.
“Pemimpin masyarakat merupakan ejen pendamai, pemakmur dan pembangunan peringkat tempatan justeru laksanakan amanah dan kepercayaan itu dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, seramai 27 ketua kaum dari kawasan DUN Lingga telah menerima watikah pelantikan mereka, daripada jumlah tersebut empat ketua kaum merupakan lantikan baharu, manakala 23 orang lagi merupakan ketua kaum yang dilanjutkan jawatannya.
Ketua kaum ini dipilih oleh penduduk setempat dan dilantik secara rasmi oleh kerajaan Sarawak melalui Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dengan proses pelantikan dipengerusikan oleh Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, Jurutera Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman Azizi Dahlan dan Temenggung Mohamad Shah Achang.
Oleh Adi Saparman