
KUCHING: Kuching Natural Farmers’ Market, pasar tani berasaskan organik yang berlangsung di pekarangan tempat letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi orang ramai, hari ini.
Pasar tani ini diadakan pada setiap Sabtu pertama setiap bulan sebagai platform bagi para peniaga tempatan memasarkan produk organik kepada masyarakat.
Edisi kali ini menampilkan 28 gerai yang menawarkan pelbagai produk organik, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar, tanaman bunga, kuih-muih, roti, serta hasil pertanian lain.
Selain membeli-belah, pengunjung juga berpeluang berinteraksi dengan para peniaga untuk mengetahui lebih lanjut tentang kaedah penanaman dan khasiat produk yang dijual.
Menambah kemeriahan suasana, kehadiran Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng yang hadir melawat setiap gerai sambil beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan terhadap pembangunan ekonomi komuniti setempat serta usaha memperkukuh amalan gaya hidup sihat.
Turut hadir, Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo, yang membuka gerai jualan dengan buah tin sebagai tarikan utama. Penglibatan beliau juga menyerlahkan sokongan kepada pertanian lestari dan kepentingan pemakanan berasaskan bahan semula jadi.
Penganjuran pasar tani berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka, malah mendidik masyarakat mengenai manfaat produk organik.