Pasangan kekasih positif dadah ditahan selepas bergaduh di Kampung Gerigat

Facebook
WhatsApp
KEDUA-DUA suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari Kampung Nyabor dan wanita tempatan berusia 19 tahun dari Bintangor ditahan semalam. Foto IPD Saratok

KABONG: Pergaduhan membabitkan sepasang kekasih di Kampung Gerigat membawa kepada penahanan kedua-duanya selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari Kampung Nyabor dan seorang wanita tempatan berusia 19 tahun dari Bintangor, ditahan di kawasan berkenaan semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian terbongkar selepas unit MPV Saratok menerima panggilan daripada Balai Polis Saratok mengenai sepasang kekasih yang bergaduh di Kampung Gerigat.

“Setibanya di lokasi, anggota polis berhubung dengan orang awam yang menunjukkan lokasi kedua-dua suspek bergaduh sebelum mereka dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku meminum minuman keras jenis langkau bersama rakannya kira-kira 12.00 tengah hari sebelum kejadian.

Katanya, suspek kemudian membuat kacau terhadap seorang penduduk kampung yang sedang membetulkan jaring di kawasan berkenaan sehingga berlaku pergaduhan.

“Dalam masa sama, suspek lelaki turut bertengkar dengan teman wanitanya berikutan hal peribadi dan perasaan cemburu.

“Pergaduhan itu kemudiannya dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

DSP Mathew berkata, kedua-dua suspek turut mengaku mengambil dadah bersama sebelum kejadian.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Adi Safarman