MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi ‘tulang belakang’ Kerajaan Sarawak meneruskan budaya permuafakatan dan kesepakatan dalam segala perancangan dengan mengutamakan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti PBB Sarawak yang juga Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato’ Henry Sum Agong menjelaskan bahawa melalui konvensyen Parti PBB Zon Utara membuktikan segala perancangan dibentang dan disokong semua perwakilan.
Ini merupakan tradisi Parti PBB yang mesti dijaga dan paling utama ialah Parti PBB sentiasa mengutamakan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan.
Beliau yang ditemui media selepas Konvensyen Parti PBB Zon Utara Sarawak di Bandaraya Miri menjelaskan bahawa aspek kesetiaan tersebut menjadikan Parti PBB terus kukuh hingga hari ini.
Barisan kepimpinan yang saling bertukar ganti sentiasa memikirkan kepimpinan parti diutamakan agar tidak berlakunya perpecahan.
Henry Sum yang juga Ketua Cawangan Parti PBB Bakelalan menyifatkan amanat Yang Di-Pertua Parti PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai penyuntik semangat perjuangan parti dan terus fokus dalam menentukan hala tuju parti untuk membangunkan Sarawak.
Malah, perancangan dengan visi jauh juga bakal menyaksikan Sarawak akan terus berjaya mencapai status negeri termaju di Malaysia.
Selain itu, intipati ucapan Timbalan Yang Di-Pertua Parti PBB yang juga Pengerusi Konvensyen Parti PBB Zon Utara, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan disifatkan sebagai sesuatu yang tepat dengan isu semasa di utara Sarawak.
Isu pembangunan tanah, pembangunan infrastruktur dan modal insan melalui Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) ternyata dinantikan rakyat di kawasan utara ini.
Justeru, beliau mempelawa semua ahli parti PBB Utara Sarawak memastikan kemenangan besar terus dilakar dalam pilihan raya akan datang.
Hanya kemenangan calon Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang mampu memastikan harapan tinggi rakyat dapat dilaksanakan kerana mempunyai keupayaan dan kekuatan melakukan transformasi terancang dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Lawas itu juga menggesa agar semangat setia kawan dan kesabaran dalam Parti PBB dapat dicontohi oleh rakan komponen lain kerana kemenangan tidak akan mampu dicapai jika berlaku penentangan dalam kalangan ahli parti yang ingin merebut tempat menjadi calon.
Namun, Parti PBB akan terus menjadi rakan seperjuangan yang teguh menyokong rakan komponen GPS menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita sudah mendengar amanat dan juga dibekalkan berbagai pengetahuan dalam menghadapi pilihan raya.
“Justeru, kita bersama melebarkan sayap untuk turun ke akar umbi bagi berkongsi segala pengetahuan dan maklumat yang diperoleh daripada konvensyen ini,” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus