PARIS: Kelibat jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang turun beraksi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) pastinya dinanti-nantikan peminat sukan tanah air pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang masuk hari keenam, hari ini.
Ziyad sudah semestinya diharapkan dapat merampas emas yang pernah dimenanginya pada Sukan Paralimpik Rio 2016 selepas mengalami detik hitam dengan penyertaannya dibatalkan pada Tokyo 2020 gara-gara lewat ke bilik panggilan sekali gus dinafikan pingat diidamnya ketika itu.
Bagaimanapun, tugas atlet berusia 34 tahun itu bukan mudah apabila bakal berdepan juara bertahan Maksym Koval dari Ukraine, yang juga pemegang rekod dunia dengan 17.57 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris.
Kejayaan memenangi emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, dengan lontaran 17.43m diharapkan dapat menjadi tonik buatnya untuk kembali meraih kedudukan tertinggi podium di Stade de France.
Selain Ziyad, kejutan juga tidak mustahil dijelmakan oleh dua lagi wakil negara, Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (kecacatan intelektual).
Ini berikutan Nazrmi pernah merangkul emas acaranya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 dan Ammar Aiman pula meraih gangsa juga di Kobe.
Dalam pada itu, jaguh badminton para Cheah Liek Hou menceriakan kontinjen Malaysia pada hari kelima Paris 2024 dengan menyumbang emas sulung buat negara di Porte de La Chapelle Arena.
Pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Paris 2024 memastikan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) berada dalam genggamannya selepas kali pertama memenanginya di Tokyo 2020 dengan mengecewakan wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika ditemui pemberita Malaysia selepas final badminton pula seronok dapat mendengar lagu Negaraku berkumandang dan berharap agar kejayaan Liek Hou memberi inspirasi buat atlet lain untuk menambah koleksi pingat bagi negara.
Ketua Kontinjen negara Datuk R. Subramaniam pula optimis Malaysia berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran empat emas manakala Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula menyifatkan pingat emas Liek Hou sebagai hadiah dari pihaknya bersempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut Sabtu lepas.
Impian rakan sepasukannya Muhammad Fareez Anuar merangkul pingat pada penampilan sulung di pentas Paralimpik musnah apabila tumpas kepada Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 19-21, 12-21 dalam perlawanan penentuan gangsa.
Saingan di Paris La Defense Arena pula menyaksikan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terlepas peluang menyinar dalam acara kegemarannya, 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) dengan berada di kedudukan keenam menerusi catatan 1 minit 46.71 saat (s).
Dua wakil memanah negara G. Daneshen dan Nur Jannaton Abdul Jalil disingkirkan wakil Itali Matteo Bonacina-Eleonora Sarti bagi pusingan penyingkiran 1/8 acara compound berpasukan campuran terbuka 141-147. – Bernama