PARIS: Perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak mensia-siakan peluang beraksi dalam acara terakhirnya di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan layak ke final 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di sini, hari ini.
Nur Syaiful mencatat masa 34.51 saat (s) untuk berada di tempat keempat pada saringan kedua di Paris La Defense Arena sekali gus bakal bersaing dalam final ketiganya di sini.
Pencapaian itu menyaksikan atlet kelahiran Sarawak menyambar slot terakhir ke final dijadual jam 5.37 petang ini (11.37 malam waktu Malaysia) yang membariskan lapan perenang terbaik daripada dua saringan acara tersebut.
Perenang China Guo Jincheng yang mengungguli saringan kedua dan mencatatkan 29.97s memecahkan rekod Sukan Paralimpik milik rakan senegara Tao Zheng iaitu 30.31s dilakukan pada edisi lepas di Tokyo pada 2020.
Nur Syaiful yang beraksi dalam dua final sebelum ini menduduki tempat keenam dsalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 dengan catatan 1 minit 16.60 saat (s) dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.
— BERNAMA
Gambar
Perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak mensia-siakan peluang beraksi dalam acara terakhirnya di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan layak ke final 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal). Foto fail Bernama