Paredes digantung 10 perlawanan kerana pergaduhan Piala Dunia

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail pemain tengah Argentina #05 Leandro Paredes (atas) bertelagah dengan pemain tengah Sepanyol #09 Gavi ketika perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford pada 19 Julai 2026. Foto AFP

PARIS, Perancis: Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes dan beberapa rakan sepasukannya dikenakan penggantungan serta denda kerana terlibat dalam pergaduhan dengan pemain Sepanyol pada perlawanan akhir Piala Dunia, menurut FIFA.

Dalam hukuman paling berat yang dijatuhkan badan induk bola sepak dunia itu, Paredes digantung 10 perlawanan antarabangsa dan didenda AS$90,000.

Beliau mencekik Eric Garcia dan menjatuhkan Gavi ke tanah ketika memegang bib pemain gantian, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam insiden di padang selepas perlawanan akhir yang dimenangi Sepanyol 1-0 di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai.

Rakan sepasukan Paredes, Nahuel Molina, menerima penggantungan tujuh perlawanan dan denda AS$90,000, manakala Thiago Almada digantung satu perlawanan serta didenda AS$30,000.

Roberto Ayala, anggota pasukan kejurulatihan Argentina, digantung tiga perlawanan dan didenda AS$30,000.

Gavi turut digantung satu perlawanan dan didenda AS$30,000 kerana peranannya dalam kekecohan yang tercetus selepas Argentina, selaku juara bertahan, tewas menerusi gol Ferran Torres pada masa tambahan.

Argentina turut diarahkan bermain dalam dua perlawanan kandang berikutnya dengan kapasiti penonton dikurangkan kepada 50 peratus, namun pelaksanaan satu daripada hukuman itu ditangguhkan.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) didenda AS$321,000 kerana melanggar kod disiplin FIFA berkaitan penggunaan acara sukan untuk demonstrasi yang tidak bersifat sukan, salah laku pasukan serta laungan dan isyarat berunsur diskriminasi oleh penyokong.’

Selepas Argentina menewaskan England 2-1 dalam separuh akhir Piala Dunia yang berlangsung sengit, beberapa pemain Argentina mengangkat sepanduk bertulis: Kepulauan Falkland adalah milik Argentina.

Tentera Argentina menyerang wilayah Britain di barat daya Lautan Atlantik itu pada 1982, menyebabkan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher, menghantar pasukan petugas tentera laut untuk merampasnya semula.

Konflik yang berlangsung selama 74 hari dari April hingga Jun 1982 itu mengorbankan 655 anggota tentera Argentina dan 255 anggota tentera Britain. Tiga penduduk kepulauan itu turut terbunuh.

AFA berkata pihaknya akan merayu terhadap penggantungan dan denda berkenaan.

Dalam satu kenyataan, AFA berkata pihaknya akan “meminta FIFA memberikan alasan bagi keputusan yang tertakluk kepada semakan untuk membolehkan rayuan dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan”.

FIFA sebelum ini melantik pendakwa disiplin dan etika untuk menyiasat insiden berkenaan selepas wisel penamat dibunyikan. – AFP