
MIRI: Sarawak Water Sdn Bhd menafikan dakwaan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang menyatakan takungan air di Sungai Liku, di sini, mengalami kekeringan akibat cuaca panas sehingga berpotensi mencetuskan catuan air.
Dalam satu kenyataan media hari ini, pihaknya menegaskan maklumat tersebut adalah tidak benar dan diklasifikasikan sebagai berita palsu.
Menurut Sarawak Water, berdasarkan pemantauan teknikal terkini, paras air di Sungai Liku ketika ini berada pada tahap normal dan mencukupi bagi menampung proses rawatan serta pembekalan air ke seluruh bandar raya Miri.
“Tiada sebarang rancangan untuk melaksanakan catuan air atau gangguan bekalan berjadual disebabkan kekurangan sumber air mentah dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, operasi Loji Rawatan Air juga berjalan seperti biasa pada kapasiti penuh bagi memastikan bekalan air bersih disalurkan tanpa gangguan kepada semua pengguna.
Dalam pada itu, Sarawak Water memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui saluran rasmi sebelum berkongsi.
Pihaknya turut memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan penyebaran hantaran tidak sahih berkenaan.
Sebarang notis rasmi berkaitan gangguan bekalan air hanya akan dikeluarkan melalui laman web dan platform rasmi Sarawak Water serta hebahan media yang sah.
Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang pertanyaan atau laporan berkaitan bekalan air melalui aplikasi ‘Sarawak Water’ atau melayari laman web rasmi agensi berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling