PETRA JAYA: Kontinjen Sarawak menyasarkan 15 pingat emas daripada 60 acara renang pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 yang bermula 22 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sasaran emas itu bakal digalas 25 atlet dalam tiga kategori iaitu cacat penglihatan, cacat intelek dan kelainan upaya fizikal.
”Bagi atlet para kategori cacat penglihatan, kita mempunyai lima orang atlet, ketidakupayaan fizikal (13) dan cacat intelek seramai tujuh orang.
”Dalam acara renang, terdapat 60 acara secara keseluruhannya dan kita akan bertanding dalam 51 acara sebagai strategi kita untuk memaksimumkan jumlah penyertaan dalam acara yang dipertandingkan.
“Seorang atlet sekurang-kurangnya ada empat acara individu dan dua acara berpasukan dan jumlah emas yang disasarkan menerusi acara renang ialah sebanyak 15 pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan untuk melihat latihan atlet di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di sini, hari ini.
Pasukan renang dilatih oleh Sarini @ Syarbini Kedri sebagai ketua jurulatih, dibantu tiga jurulatih pasukan iaitu Imran Nawawi, Mandu Nyungkan, Mohamad Zamry Sapiee serta dua penolong jurulatih iaitu Mohammad Ali Seman dan Donny Sa.
Sementara itu, Sabbariah Amit menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan.
Menurut Fatimah lagi, latihan pada hari ini dihadiri 23 atlet renang manakala dua atlet sedang menjalani latihan di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, pada Para SUKMA 2022, atlet pasukan renang Sarawak berjaya ’menuai’ enam pingat emas dan memecahkan tiga rekod acara renang.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Fatimah mengadakan lawatan untuk melihat latihan atlet di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di Petra Jaya, hari ini. Foto HERRIEY NAHA