PETRA JAYA: Sarawak kembali merangkul kejuaraan Para SUKMA XXI 2024 dengan kemenangan yang bergaya selepas meninggalkan Sabah dengan perbezaan 20 pingat emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kontinjen Bumi Kenyalang mengumpul 82 pingat emas, jauh mengatasi Sabah dengan 62 emas, sekali gus mengesahkan kejuaraan Sarawak dalam edisi kali ini.
“Jika kita bandingkan dengan keputusan para Sukma pada 2022, Sabah telah mengalahkan Sarawak dengan kelebihan empat pingat emas.
“Jadi, Sarawak berjaya merampas kembali kejuaraan kali ini dengan kemenangan yang sangat meyakinkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Pertandingan “Picture dan Article of the Day” sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Media di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai sasaran 83 emas yang ditetapkan, Dato Sri Fatimah menjelaskan bahawa kontinjen Sarawak tetap berpuas hati walaupun sasaran tersebut belum sepenuhnya tercapai.
Katanya, beberapa sukan telah melebihi jangkaan, seperti olahraga yang mensasarkan 30 emas tetapi meraih 33 pingat, serta renang yang berjaya mengumpul 17 emas berbanding sasaran awal 15 emas.
“Terdapat juga sukan-sukan lain yang telah mencapai sasaran mereka, dan ini adalah satu pencapaian yang sangat cemerlang.
“Walaupun ada sukan yang tersasar sedikit dari sasaran emas, tetapi itu adalah perkara biasa dalam sukan,” katanya.
Tambah Fatimah, beliau turut menekankan semangat juang yang perlu dikekalkan oleh atlet-atlet Sarawak walaupun terdapat cabaran dalam mencapai sasaran.
“Bagi atlet para, sukan adalah segala-galanya buat mereka. Bila mereka tidak dapat capai emas yang disasarkan, perasaan mereka amat kecewa.
“Namun, kami sentiasa memberi sokongan moral kepada mereka dan berkata, agi idup agi ngelaban! (selagi hidup, kita teruskan perjuangan),” katanya.
Dalam pada itu, Para SUKMA XXI Sarawak 2024 akan melabuhkan tirainya pada majlis penutupan yang dijadualkan pada 8.30 malam ini di Stadium Perpaduan, di mana pemenang Atlet Lelaki Terbaik dan Atlet Wanita Terbaik Para SUKMA 2024 akan diumumkan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal & Shahrul Qaizat