





SERIAN: Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) bakal dibina di Muara Tebas, Kuching, bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan Sarawak.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan kerajaan Sarawak.
Menurutnya, keputusan untuk memindahkan pangkalan dari Bintulu ke Muara Tebas dibuat berdasarkan faktor kemudahan, kos penyelenggaraan, dan infrastruktur yang lebih baik.
“Apabila kita menubuhkan pangkalan, kita memerlukan persekitaran yang kondusif dengan kemudahan yang mencukupi,” katanya pada sidang media pada majlis lawatan kerja Panglima Angkatan Tentera ke kawasan operasi Op Keris Parang Siri 2/2025, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa perancangan asal untuk membina pangkalan di Bintulu telah dikaji semula kerana faktor kos penyelenggaraan yang lebih tinggi serta cabaran infrastruktur.
“Sebagai gantinya, pangkalan baharu bakal dibina di Muara Tebas, Kuching, yang akan berfungsi sebagai pusat operasi maritim utama di Sarawak dengan kemudahan penyelenggaraan kapal serta infrastruktur sokongan yang lebih baik.
“Mawilla 4 tidak akan sebesar Pangkalan TLDM Lumut tetapi akan setanding dengan Pangkalan Sepanggar di Sabah.
“Lawatan ke tapak pembinaan di Muara Tebas akan diadakan esok bagi menilai keperluan pembangunan sebelum pelaksanaan projek,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh aspek keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia yang kini mempunyai 23 pos kawalan di Sarawak.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menilai keperluan untuk menambah bilangan pos kawalan di sempadan bagi menyeimbangkan jumlah dengan Indonesia, yang kini mempunyai lebih banyak pos di sepanjang perbatasan.
“Kajian semula turut mempertimbangkan kemungkinan menambah Pos Gabungan Bersama (GABMA) Malaysia-Indonesia, yang kini berjumlah lima,” katanya.
Beliau turut melakukan kerja rasmi ke Markas Taktikal (MK TAK) Balai Ringin bagi meninjau kesiapsiagaan operasi sempadan serta memperkukuh moral anggota yang bertugas di kawasan perbatasan, khususnya menjelang Aidilfitri.
Lawatan itu juga bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan Operasi Keris Parang Sektor Bravo Siri 2/2025 serta menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anggota sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Oleh MASRIN AFFIRAH