DARO: Kerajaan sentiasa berlaku adil dan munasabah dalam setiap pembayaran pampasan tanah milik rakyat yang digunakan bagi perlaksanaan projek untuk kepentingan umum.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap pengambilan tanah bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan dilakukan mengikut undang-undang yang sedia ada.
“Kalau kita mahu bangunan dewan macam ini, ia hendaklah dibina atas tanah, belum ada lagi teknologi yang membolehkan kita membina bangunan tergantung di atas langit.
“Kalau kita hendak baiki parit, buat jambatan, jalan raya, bangunan, kalau ia tanah milikan atau tertakluk kepada tuntutan tanah adat kita terpaksa ambil. Kita ambil bukan secara percuma, kita ambil mengikut undang-undang, kita bayar pampasan yang berpatutan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah kepada seramai sembilan orang pemilik tanah yang terlibat dalam projek cadangan pembinaan Jalan Sungai Passin-Matu membabitkan pampasan berjumlah RM66,713.35.
Jalan Sungai Passin-Matu sepanjang dua kilometer itu melibatkan sebanyak 11 lot tanah yang digunakan bagi pelaksanaan projek tersebut.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua memberitahu, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan kerja-kerja penyukatan tanah sejak 1960-an.
“Sekarang ini, kita mahu mempercepatkan kerja penyukatan tanah, dulu sejak 1960-an hingga 2010 kita melakukan kerja penyukatan tanah dengan menggunakan kaedah lama.
“Dalam tempoh 50 tahun kita cuma berjaya menyukat lebih kurang 260,000 hektar sahaja tanah NCR. Jadi kita dengan inisiatif baharu, kaedah baharu sejak dari 2010 hingga sekarang kita berjaya menyukat lebih 900,000 hektar tanah. Inisiatif baharu terbukti lebih cepat,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut menyerahkan sebanyak 231 surat hakmilik tanah Seksyen 18 kepada 199 pemilik merangkumi keluasan 66.9 hektar iaitu bagi penduduk di Kampung (Kg) Lemang Pek, Kampung Pangtray dan Kampung Tengah Daro.
Selain itu, beliau juga menyerahkan Warta Rezab Komunal Bumiputera Seksyen Enam melibatkan keluasan 58.06 hektar untuk penduduk di Kampung Lemang Pek Daro.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad serta yang lain.