
PADAWAN: Daerah Padawan berpotensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Sarawak menerusi pelaksanaan projek pemetaan produk pelancongan geopark yang berasaskan warisan budaya Bidayuh dan khazanah alam tropika.
Projek strategik ini diterajui oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil.
Beliau mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Geopark Trails Mapping of Tourism Product in Padawan yang berlangsung semalam di Pejabat Daerah Kecil Padawan.
Mesyuarat ini diadakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), pemimpin komuniti, serta penggiat pelancongan tempatan.
Melalui inisiatif Ranee Atlas yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik UiTM, projek ini menyasarkan pembangunan laluan pelancongan bersepadu yang merangkumi lebih 48 air terjun, 50 gua, serta kampung-kampung Bidayuh bertema, lengkap dengan naratif sejarah, budaya, dan kehidupan komuniti tempatan.
Menurut Jerip, antara tarikan utama termasuklah Air Terjun Penghuntan, gua-gua prasejarah, dan ekosistem hutan hujan tropika.
Namun, kekuatan sebenar produk pelancongan ini terletak pada komuniti Dayak Bidayuh itu sendiri.
“Budaya mereka, muzik, kraf tangan, makanan, serta kisah ketahanan mereka merupakan nadi utama pelancongan ini.
“Tema ‘The Bidayuh Survived’ akan menjadi asas kepada pembangunan pelancongan Padawan – memperkukuh jati diri, memelihara warisan, dan mencipta peluang baharu.
“Kampung Annah Rais telah dikenalpasti sebagai pusat pameran budaya Bidayuh, manakala kampung-kampung lain seperti Kampung Sikog, Kampung Bunuk dan beberapa lagi akan dimajukan dengan identiti pelancongan tersendiri,” katanya.
Perkembangan ini, menurutnya, akan disokong oleh pembinaan infrastruktur digital, amphitheatre, serta program pelancongan lasak seperti Padawan Raft Safari di bawah penyelarasan Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Tambahnya lagi, projek ini bukan sahaja dijangka merancakkan ekonomi luar bandar, malah berupaya memperkenalkan Padawan sebagai destinasi pelancongan lestari yang kaya dengan nilai budaya serta alam semula jadi.
“Tanpa rakyat, lokasi hanyalah ruang kosong. Namun dengan rakyat, ia menjadi hidup, bermakna, dan penuh cerita untuk dikongsikan kepada dunia,” ujarnya.