PETRA JAYA, 6 Oktober: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mula memperkukuh kemahiran jentera pilihan raya, khususnya ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA), sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata langkah itu penting memandangkan PRN akan datang dijangka melibatkan pertambahan bilangan pengundi, sekali gus memerlukan jentera parti mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang mencukupi berkaitan proses pilihan raya.
Menurutnya, persiapan jentera perlu dilakukan lebih awal dan tidak boleh ditangguhkan sehingga saat akhir bagi memastikan semua anggota dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih teratur dan berkesan.
“Pilihan raya yang akan datang ini akan melibatkan pertambahan bilangan pengundi. Disebabkan itu, kemahiran tersebut sangat penting.
“Kemahiran baharu perlu ada dalam kalangan jentera parti kita,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB Sarawak Bilangan 6, Penggal 2025 hingga 2028 di Ibu Pejabat PBB Sarawak, hari ini.
Fatimah berkata, tiga taklimat diadakan sempena mesyuarat berkenaan, termasuk taklimat berkaitan program Kamek Prihatin Kita Penting yang akan dilaksanakan di zon Miri.
Katanya, satu lagi taklimat berkaitan PACA disampaikan Datu Takun Sunggah, bekas Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala Setiausaha PBB Cawangan Semariang, Suhi Salleh, turut dijemput untuk berkongsi pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, pendedahan berkaitan PACA penting bagi memastikan anggota jentera memahami peranan dan tanggungjawab mereka sepanjang proses pengundian serta pengiraan undi.
“Dalam kata lain, kita membuat persiapan untuk pilihan raya. Ia tidak boleh dilakukan pada saat akhir.
“Ia perlu dirancang supaya jentera parti wanita kita menjadi satu jentera yang tersusun, berstruktur dan cekap,” katanya.
Persediaan berkaitan PACA turut mendapat perhatian di beberapa kawasan lain di Sarawak, termasuk menerusi program taklimat mengenai peranan dan persediaan PACA bagi PRN Sarawak Ke-13 yang diadakan di Spaoh pada 4 Oktober lalu.
Program berkenaan memberi penekanan terhadap penguasaan prosedur pilihan raya dan kesiapsiagaan petugas dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak sebelum ini turut mengadakan dan menyenaraikan beberapa taklimat berkaitan pengurusan pengundian serta pengiraan undi sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi PRN Sarawak Ke-13.
Oleh Shikin Mahmud



