KUCHING: Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diangkat daripada sekadar pematuhan undang-undang kepada budaya organisasi dan kelebihan strategik bagi meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan serta memperkukuh daya saing Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dalam era ekonomi digital, peralihan tenaga dan Revolusi Industri 4.0, kejayaan sesebuah syarikat tidak lagi boleh diukur berdasarkan keuntungan dan teknologi semata-mata.
Sebaliknya, katanya, keupayaan organisasi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan tenaga kerja kini menjadi antara ukuran penting terhadap daya tahan serta prestasi sesebuah syarikat.
“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan lagi sekadar memenuhi keperluan perundangan.
“Ia merupakan pelaburan strategik yang menentukan daya tahan organisasi, produktiviti pekerja dan daya saing syarikat dalam ekonomi global,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Makan Malam Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia Ke-24 (ACOH) 2026 di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, budaya kerja yang mengutamakan keselamatan bukan sahaja mampu mengurangkan kemalangan dan kehilangan produktiviti, malah meningkatkan keyakinan pelabur, reputasi korporat serta keupayaan syarikat menarik tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya, perkara itu semakin penting ketika Sarawak mempercepat pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi.
“Setiap organisasi perlu memastikan budaya kerja selamat bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata transformasi ekonomi turut melahirkan cabaran baharu seperti automasi, digitalisasi, pekerjaan fleksibel dan pertumbuhan sektor gig yang memerlukan pendekatan OSH yang lebih progresif, inovatif dan bersesuaian dengan perubahan dunia pekerjaan.
“Pembangunan tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi. Ia mesti diterjemahkan kepada tempat kerja yang lebih selamat, sihat dan mampu melindungi setiap pekerja tanpa mengira sektor atau bentuk pekerjaan,” katanya.
Abang Johari turut menegaskan perlindungan terhadap pekerja sektor tidak formal, pekerja gig dan pekerja migran perlu diperkukuh supaya manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata agenda keselamatan pekerjaan juga merupakan komponen penting dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam membangunkan ekonomi berteraskan modal insan, keterangkuman sosial dan kelestarian.
Katanya, kerajaan, majikan, institusi pendidikan, badan profesional dan pemain industri perlu memperkukuh kerjasama bagi membentuk budaya keselamatan yang mampan.
Abang Johari turut menggesa syarikat supaya tidak menganggap latihan keselamatan, pembangunan kompetensi pekerja dan penambahbaikan sistem pengurusan OSH sebagai kos operasi semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan prestasi organisasi serta daya saing syarikat.
“Syarikat yang berjaya ialah syarikat yang melindungi pekerjanya. Apabila pekerja berasa selamat, mereka lebih produktif, lebih inovatif dan lebih komited. Inilah asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Sementara itu, pemilihan Kuching sebagai tuan rumah ACOH 2026 mencerminkan pengiktirafan terhadap Sarawak sebagai destinasi yang mampu menghimpunkan pakar, penyelidik dan profesional antarabangsa untuk membincangkan masa depan OSH.
Kongres itu menghimpunkan pakar dari pelbagai negara bagi membincangkan isu transformasi digital, kesiapsiagaan bencana industri, penggunaan teknologi dalam pemulihan pekerjaan, pengurusan risiko baharu serta amalan kelestarian dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Oleh Adi Safarman




