PETRA JAYA, 9 OKTOBER: Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1999 akan dipinda buat kali pertama menerusi Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu depan.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata pindaan itu antara lain bertujuan memperkemas tadbir urus, meningkatkan kecekapan organisasi serta memperkukuh akauntabiliti dan pengurusan risiko perpustakaan negeri.
“Antara cadangan pindaan ialah memperkenalkan peranan dan kuasa menteri yang bertanggungjawab terhadap perpustakaan negeri serta memberi kuasa kepada perpustakaan untuk menubuhkan arkib peringatan.
“Pindaan itu turut mencadangkan perubahan struktur tadbir urus dengan menggantikan kuasa Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan menteri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat prapersidangan GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan akan diberi kuasa untuk menyerahkan harta kepada Perpustakaan Negeri Sarawak, manakala MMKN diberi kuasa meminda jadual dalam ordinan berkenaan.
“Rang undang-undang itu akan dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
“Bacaan kali pertama dijadualkan pada 12 Oktober, manakala bacaan kali kedua dan ketiga akan dilakukan pada 13 Oktober,” jelasnya.
Untuk rekod, Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 dari 12 hingga 21 Oktober ini merupakan persidangan terakhir bagi penggal semasa sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Penggal semasa DUN Sarawak dijadualkan berakhir pada Februari 2027.
Oleh Masrin Affirah





