KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa komited membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri menerusi Operasi (Op) Tapis Khas Se-Malaysia yang dilaksanakan JSJN bersama jabatan lain di bawah PDRM bermula 27 Februari hingga 1 Mac lepas berkata, hasil tangkapan mendapati Daerah Miri mencatatkan hasil rampasan nilai dadah tertinggi setakat ini.
“Rampasan dadah tertinggi bagi Operasi kali ini adalah di Daerah Miri iaitu bernilai RM100, 080 di ikuti Sibu, (RM65,389) dan Kuching (RM55,275),” katanya.
Menerusi Op Tapis Khas Se-Malaysia itu, PDRM juga telah berjaya menahan seramai 282 individu dan jumlah dadah yang dirampas daripada kesemua suspek, boleh digunakan oleh 11,329 penagih.
Menurut Mohd Azman, tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM227,060 dan kes di siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Individu yang ditangkap terdiri daripada 268 lelaki dan 14 perempuan berusia antara 17 hingga 63 tahun.
“Antara dadah yang berjaya dirampas termasuklah 2,236 gram(g) syabu, 13 biji pil Eramin 5, 67g ganja(Kanabis) dan 0.25g Ketamine.
“Pihak kami turut menyita sebuah kereta bernilai RM50,000 di Kuching dan wang tunai serta barang kemas bernilai RM21,200 di Miri yang membawa kepada keseluruhan barang sita berjumlah RM71,200,” jelasnya.
Menurutnya lagi, 197 individu daripada 282 yang ditangkap didapati positif pelbagai jenis dadah selepas ujian saringan awal air kencing.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Tapis Khas Se-Malaysia Bil 2/2023 di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Untuk Rekod, dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2023, JSJN Sarawak merekodkan sebanyak 2,266 tangkapan, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3,408,073.50 dan menyita harta bernilai RM814,926.02.
Oleh SHAHRUL QAIZAT