
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia lewat 50an ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo dekat kawasan Engkilili, petang semalam.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, suspek ditahan semasa operasi dijalankan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Operasi bersepadu itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (KBSJKD) IPD Lubok Antu, Inspektor Muhammad Asyraf Azmi bersama 18 anggota daripada pelbagai bahagian dan pangkat.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan jenayah, penyalahgunaan dadah, perjudian serta aktiviti maksiat di samping meningkatkan kehadiran polis di kawasan hotspot sekitar daerah tersebut.
Sepanjang operasi yang berlangsung kira-kira lima jam itu, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 28 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas hasil pemeriksaan yang dijalankan.
Selain itu, sebanyak 120 buah kenderaan dan 130 individu telah diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengesan sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan.
IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus komited mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman