LINGGA: Sebanyak 25 perahu dan bot yang diperkuatkan seramai 80 anggota penyelamat serta bantuan penduduk kampung ‘membanjiri’ perairan Sungai Batang Lupar di sini semalam, namun masih lagi gagal menemukan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, PPgB William Baheng berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga semalam diperluaskan sehingga 5 kilometer (KM) ke hulu dan hilir Sungai Batang Lupar.
“Semalam, operasi SAR yang memasuki hari ketiga diperluaskan sehingga 5KM, berbanding hanya beradius 3KM pada hari kedua SAR dilancarkan Sabtu lalu.
“Petugas SAR bagaimanapun terus buntu dengan tiada sebarang petunjuk bagi menemui mangsa walaupun dengan bantuan seramai 80 angggota penyelamat dan penduduk kampung yang menggunakan 25 perahu dan bot,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
William berkata walaupun petugas SAR mendapat petunjuk baharu dengan penemuan pakaian dan kasut mangsa, namun tiada sebarang jasad mangsa kelihatan untuk ditemui di sepanjang sungai itu.
“Operasi SAR yang dilakukan, bukan sahaja pencarian berkisar di kawasan sungai sahaja, namun turut dilakukan di kawasan darat yang dibahagikan kepada beberapa pasukan,” ujarnya.
Jelas beliau, operasi SAR mengalami kesukaran seperti sedia maklum, Sungai Batang Lupar begitu luas dan besar.
Namun katanya usaha operasi SAR ternyata belum membuahkan hasil sehinggalah operasi ditangguhkan seketika jam 6.00 petang.
Beliau berkata, pihaknya akan meluaskan lagi kawasan pencarian esok (hari ini) dengan meredah ke kawasan yang lebih dalam di celah-celah pokok di kawasan sungai terbabit.
Tambahnya, pakaian yang digunakan oleh mangsa semasa kejadian iaitu baju berwarna biru, seluar pendek berwarna hitam dan berkasut getah.
Dalam pada itu, penduduk kampung pada Jumaat lalu ternampak jasad mangsa di tebing sungai bersama buaya tersebut, iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Bagaimanapun apabila mereka menghampirinya, buaya itu menarik semula lelaki itu masuk ke sungai.
Terdahulu mangsa Kong Gindi, 47, disambar oleh sang bedal ke dasar Sungai Seduku, dalam satu kejadian serangan buaya di Rumah Panjang Tuntun, pagi Jumaat lalu.
Sewaktu kejadian, mangsa bersama seorang rakan, Saji Thomas, 52, sedang memeriksa dan mencuci perahu sekitar jam 9.30 pagi.
Oleh Adi Safarman