ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang ketika berburu di hutan Bukit Tampah Po Ai, Rabu lalu masih gagal dijumpai pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim berkata, mangsa dikenali sebagai Patau Mok, 36, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga pada petang Jumaat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sri Aman.
“Lokasi terakhir mangsa dikesan berdasarkan kedudukan motosikal miliknya dijumpai di kaki Bukit Tampah, Poi Ai, Sri Aman (hujung ladang Poi Ai).
“Laluan ke lokasi tersebut dari rumah kediaman mangsa lebih kurang 14 kilometer melalui jalan sempit berbatu dan tanah serta berbukit bukau yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pikap dan motosikal,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, operasi SAR hari ketiga semalam dibahagi kepada empat sektor, setiap sektor atau pasukan dianggotai seramai 12 orang dan satu pasukan hanya dua orang sebagai pasukan peninjau.
Untuk sektor satu, katanya, operasi SAR memasuki hutan sebelah kanan bukit Tampah dan menyusuri kawasan Empadi dalam radius tiga kilometer pencarian.
Sektor dua pula, operasi SAR memasuki hutan bukit Tampah sebelah tengah dalam radius tiga kilometer pencarian dan sektor ketiga pula, pasukan SAR memasuki hutan kawasan Empadi dalam radius tiga kilometer pencarian ke Empadi Mawang.
Manakala sektor empat, operasi SAR memasuki hutan Empadi sebelah kiri dalam radius tiga kilometer pencarian.
“Operasi SAR ditangguhkan sekitar jam 4 petang atas faktor kawasan gelap dan hujan lebat,” ujarnya.
Operasi SAR yang melibatkan pasukan APM, Bomba Sri Aman, anggota polis serta penduduk kampung itu akan disambung keesokan hari.
Patau dilaporkan hilang dipercayai sesat semasa berburu sejak Rabu lepas. Mangsa, dari Rumah Connie, Panggau, kali terakhir dilihat sekitar jam 2.00 petang Rabu menunggang motosikal ke arah hutan tersebut.