ZARINA ABDULLAH
TEBEDU: Seramai 435 penduduk tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan berupa bekalan makanan semalam.
Penduduk tersebut adalah dari 58 buah kampung di bawah kawasan Tebedu menerima bantuan makanan asas tersebut susulan tempias ekonomi yang dihadapi berikutan PKP yang berlangsung selama sebulan dari 18 Mac hingga 14 April ini.
Sumbangan tersebut adalah dari Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Sri Michael Manyin Jawong.
Manakala, pengagihan bantuan tersebut dilaksana dan diselaraskan oleh Pusat Khidmat Tebedu.
Sementara itu, pengagihan bantuan bekalan makanan itu terbahagi adalah terbahagi kepada empat zon iaitu Zon Bantang, Mengarat Amo dan Zon Tebedu.
Penghantaran pertama telah dimulakan petang Sabtu kepada 38 penerima di Mengarat dan zon-zon seterusnya pada Ahad.
Antara bekalan makanan yang disumbangkan adalah beras, bawang, telur dan sebagainya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam sidang media pada Sabtu berkata, Kerajaan Sarawak akan menggunakan khidmat tentera dan bomba termasuk helikopter untuk memastikan bekalan makanan sampai kepada penduduk luar bandar dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan memberi jaminan bahawa bekalan makanan di Sarawak terutama keperluan asas adalah mencukupi untuk tempoh tiga bulan.