SHEILA ZAIDI
KUCHING : Sarawak mencatatkan dua lagi kes kematian akibat jangkitan Covid-19 semalam dan menjadikan jumlah kematian sebanyak tujuh kes di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedua- dua kes kematian ini masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri.
“Sementara itu, terdapat enam kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 135 kes sejak kes positif pertama yang dilaporkan pada 13 Mac lalu.
“Kesemua enam kes baharu ini dirawat di HUS (tiga orang), Hospital Miri (dua orang) dan seorang di Hospital Sibu,”katanya kepada pemberita dalam satu sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam.
Menurut Douglas, sebanyak 50 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,176 kes.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 977 kes adalah negatif dan 64 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
Douglas yang juga pengerusi JPBN berkata, sehingga kini, Sarawak telah merekodkan tujuh kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac yang mana sembilan kes telah didiscaj dari hospital.
“Semalam merupakan hari ke-13 tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan pihak polis melaporkan sebanyak 95 peratus rakyat Sarawak telah mematuhi tempoh PKP.
“Setakat Ahad lalu juga pihak polis telah membuat 67 tangkapan dengan jumlah keseluruhan tangkapan di Sarawak adalah sebanyak 229 kes,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa sebanyak 31 kes telah dituduh semalam dengan jumlah keseluruhan adalah 56 orang manakala selebihnya masih lagi dalam siasatan.
Douglas turut meminta semua rakyat Sarawak yang sedang berada di luar Sarawak, untuk terus bersabar berjauhan dari keluarga sehingga tempoh PKP ini selesai.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan mereka semalam memberitahu kes kematian keenam di Sarawak merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berumur 47 tahun.
Mangsa telah dirawat di HUS pada 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 pagi semalam.
Sementara itu, kes kematian ketujuh pula merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun.
Mangsa yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun telah dirawat di Hospital Miri dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.02 pagi semalam. Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.