Earl Anek
BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor dan IPD Meradong bekerjasama menjalankan operasi nyahcemar, pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, PPgB Nicholas Belulin berkata, operasi nyahcemar dilakukan di Balai Polis Bintangor, IPD Meradong dan kawasan parkir kenderaan termasuk kenderaan peronda yang digunakan oleh pasukan polis untuk sekatan jalan raya.
“Kerja-kerja nyahcemar ini dijalankan bermula jam 9 pagi hingga jam 10.30 pagi. Seramai 10 anggota bomba menyertai operasi nyahcemar ini.
“Selain itu, operasi turut disertai empat anggota polis diketuai oleh Ketua Bahagian Pengurusan Daerah IPD Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, petang semalam.
Tambahnya, bagi operasi nyahcemar di Balai Polis Bintangor, pasukan satu menjalankan sanitasi di dalam pejabat balai polis dan lokap.
“Untuk operasi nyahcemar di IPD Meradong, pasukan dua membuat operasi sanitasi di dalam pejabat IPD Meradong iaitu lokasi yang selalu dikunjungi orang awam.
“Bagi operasi di kawasan parkir dan kenderaan peronda, pasukan satu dan pasukan dua berganding bahu menjalankan operasi sanitasi tersebut,” ujarnya.