SARATOK: Operasi khas memburu buaya di Sungai Krian, khususnya di kawasan Sungai Lubok dan Kampung Perpat, berakhir semalam selepas berjaya menangkap enam ekor reptilia berkenaan sepanjang operasi yang dijalankan sejak 20 Julai lalu.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan (SFC) Sarikei dengan kerjasama penduduk Kampung Perpat yang diketuai Ketua Kaum Azman Nawi.
Sepanjang operasi, sebanyak enam ekor buaya berjaya ditangkap terdiri daripada empat ekor betina dan dua ekor jantan.
Azman berkata, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan penduduk yang bergantung kepada Sungai Krian untuk menjalankan aktiviti harian dan mencari rezeki.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak SFC Sarikei yang sanggup berulang-alik dari Sarikei ke Kampung Perpat setiap hari tanpa mengira penat dan lelah sehingga operasi berkenaan selesai.
Menurutnya, kerjasama erat antara SFC dan penduduk kampung amat penting dalam usaha menangani ancaman buaya yang semakin membimbangkan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Azman turut menyampaikan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, atas kesudian menyalurkan dana bagi memastikan operasi memburu buaya dapat diteruskan sehingga ke hari terakhir.
Beliau turut menasihatkan penduduk kampung dan rumah panjang supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta berhati-hati ketika berada di sungai, khususnya golongan nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan, walaupun operasi khas berkenaan telah berakhir.
Terdahulu, operasi khas tersebut dilancarkan susulan kejadian serangan buaya terhadap seorang nelayan tempatan pada 20 Julai lalu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar.
Dalam kejadian itu, nelayan berkenaan bernasib baik apabila terselamat daripada serangan reptilia berkenaan ketika menangkap udang di Sungai Krian berhampiran Rumah Galing, Lubok Nibong.
Insiden tersebut sekali gus meningkatkan tahap kewaspadaan penduduk, terutama mereka yang menjadikan sungai sebagai sumber rezeki serta laluan utama untuk menjalankan aktiviti seharian.
Oleh Adi Safarman





