SKRANG: Pihak berkuasa semalam telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan kebun di Rumah Jack, Pais Skrang hingga menemui petunjuk baharu.
Semalam, genap hari ketujuh SAR seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang petunjuk.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa yang dikenali sebagai Jijah Sanggah, 66, yang hilang ketika hendak pergi ke kebun sehingga kini masih gagal ditemui.
“Semalam merupakan SAR yang memasuki hari ketujuh, dan keputusan untuk menamatkan operasi SAR itu dibuat pada jam 4.45 petang selepas perbincangan diadakan antara agensi yang terbabit dalam SAR serta persetujuan keluarga mangsa.
“Anggota penyelamat bagaimanapun akan menyambung semula operasi SAR jika menerima sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan wanita warga emas yang belum berjaya ditemui sehingga hari ini,” katanya.
Muhammad Rais berkata dalam SAR hari ketujuh, telah dimulakan dengan membuat pembahagian tugas kepada dua pasukan.
“Pasukan pertama melakukan pencarian dalam radius 4 kilometer (KM) di kawasan darat dan sungai, manakala pasukan kedua melakukan pencarian 4KM di Sungai Skrang iaitu ke hulu dan ke hilir sungai dalam anggaran radius 4KM dengan menggunakan bot polis dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dijalankan,” katanya.
Muhammad Rais berkata pada sebelah petangnya sekitar jam 4.15 petang pihak PDRM mengadakan perbincangan bersama dengan agensi-agensi SAR serta ahli keluarga mangsa untuk menamatkan operasi SAR hari ketujuh dan akan diaktifkan sekirannya terdapat pertunjuk baharu.
Oleh ADI SAFARMAN