TATAU: Operasi besar-besaran untuk menangkap buaya di Sungai Anap, Batang Tatau di sini, bermula hari ini sehingga 7 Oktober depan.
Menurut kenyataan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), operasi itu dijalankan oleh Jawatankuasa Tugas Khas yang terdiri daripada SFC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tatau, dengan kerjasama Pejabat Daerah Tatau.
Susulan itu, semua penduduk di kawasan sekitar diingatkan supaya mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh operasi.
Aktiviti di sepanjang lima kilometer ke hulu dan lima kilometer ke hilir Sungai Anap dari Pasar Lama Tatau dilarang sama sekali untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Selain itu, orang ramai juga dilarang mengambil gambar atau menyebarkan maklumat palsu berkaitan operasi ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Operasi tersebut merupakan langkah proaktif untuk menjaga keselamatan masyarakat dan mengawal populasi buaya di kawasan berkenaan.
Ia diharapkan dapat mengurangkan risiko serangan buaya yang telah menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk sejak kebelakangan ini.
Baru-baru ini, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dipercayai disambar buaya ketika mandi sungai bersama keluarganya di Kampung Seberang Pasar Lama, Tatau.