MATU: Operasi Bersepadu akan diadakan berikutan Kampung Tian Matu telah diwartakan sebagai kawasan Wabak Rabies baru-baru ini.
Perkara tersebut telah didedahkan oleh Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad padaTaklimat dan Masyuarat Wabak Rabies Daerah Matu yang diadakan di Dewan Suarah Matu pada hari Khamis.
“ Operasi bersepadu akan dilakukan segera dengan bantuan agensi berkaitan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK),” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawantankuasa Bencana Daerah Matu mengharapkan laporan segera daripada KMKK.
“Laporan segera daripada KMKK tentang jumlah anjing liar di kawasan masing-masing diperlukan bagi melancarkan operasi tersebut. Sekiranya ada cakaran ataupun gigitan daripada binatang berpotensi membawa wabak seperti anjing, kucing dan sebagainya, sila laporkan segera kepada Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) dan dibawa ke klinik berdekatan,” kata Wan lagi.
Ketua Perkhidmatan Vaterinar Bahagian Mukah; Hasnul Abdullah Buyong yang juga salah seorang daripada panel pada program tersebut menasihati masyarakat untuk berwaspada dengan anjing mahupun kucing yang berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit berkenaan.
“Sekiranya terdapat anjing yang mempunyai gejala rabbies, laporkan segera kepada Jawatankuasa bencana dan MDMD untuk tindakan segera. Bagi anjing bertuan, kurungkan atau rantaikan di kawasan masing-masing dan suntikan vaksinasi akan dilakukan,’ kata Hasnul.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDMD; Apohrozy Ezrie Eallie berkata, operasi akan dilakukan segera dan berjadual.
“ Pemantauan berterusan ke kawasan ‘hot spot’ berdasarkan maklumat daripada KMKK akan diperhebatkan dan operasi menjejak dan menidurkan anjing liar ini akan dipercepatkan demi keselamatan penduduk. Pihak MDMD juga telah menyediakan talian aduan Public Health bagi kawasan Matu dan Daro untuk sebarang maklumat dari masyarakat dalam aplikasi “whatsapp” di talian 013-9354719,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Pegawai Kesihatan Daerah Matu; Rahmat Jahwi menyatakan pihak Jabatan Kesihatan Matu akan membuat pemantauan daripada sudut kesihatan masyarakat.
“KMKK dipohon untuk kemaskini maklumat Ketua Isi Rumah terutama kawasan Kg. Tian untuk kemudahan menghubungi mereka. Setakat ini, tiada laporan berkenaan gigitan atau cakaran anjing diterima diseluruh Klinik Kesihatan Matu,” ujarnya.
Oleh Henry B Siyu