KUCHING: Persatuan Bekas Putera (OPA) menyumbangkan lebih 100 kotak peralatan perlindungan peribadi (PPP) kepada hospital dan klinik yang kini merawat wabak Covid-19 di Sarawak.
OPA diwakili oleh Timbalan Pengerusi Cawangan Sarawak, Mashan Ahmad Rais telah menyerahkan 72 unit kotak intubasi dan 85 unit kotak saringan kepada Jabatan Kesihatan Sarawak dan Hospital Umum Sarawak.
Kotak-kotak selebihnya diselaras oleh Edmund Ranum untuk diedar sekitar Kuching, Kota Samarahan, Serian, Betong, Sibu, Bintulu, Miri dan Marudi dengan sokongan Tentera Darat Malaysia ehsan daripada Panglima Medan Timur.
Inisiatif ini telah meraih dana sebanyak RM30,000 untuk Sarawak sahaja termasuk tajaan RM5,000 daripada Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (LCDA) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sumbangan orang ramai yang mengambil berat terhadap kesejahteraan petugas barisan hadapan dalam mengurus pesakit Covid-19.
Kesemua dana sumbangan telah digunakan untuk menghasilkan kotak-kotak PPP intubasi dan saringan dalam masa 24-jam dan penghantaran kotak-kotak PPP dari Kuala Lumpur telah diselaraskan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) melalui pesawat pengangkut mereka ke Kuching.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin ketika menerima sumbangan itu mengucapakan ribuan terima kasih kepada OPA Cawangan Sarawak di atas sumbangan tersebut semasa penularan wabak Covid-19.
“Ia amat membantu kami dalam menjalankan tugas menangani wabak ini daripada tersebar lebih luas,” katanya. Dalam masa 24-jam, ahli-ahli OPA telah bergerak untuk mengumpul dana dan menghasilkan kotak-kotak PPP mengikut piawaian untuk diedar ke pusat-pusat rawatan Covid-19 di dan mereka berbangga kerana dapat memberikan bantuan kepada petugas kesihatan barisan hadapan dalam apa jua cara terutamanya kawasan kritikal di seluruh negara.