Olivia Wong raih dua gelaran juara, intai peluang ke pusingan akhir Sarawak Energy Junior

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…Olivia Wong Yu Xuan muncul juara perseorangan perempuan 15 tahun dan ke bawah, selain mengungguli acara beregu perempuan 15 tahun dan ke bawah pada Kejohanan Badminton Junior Zon Tengah Sarawak Energy 2026 di Sekolah Tinggi Katolik Sibu hari ini.

SIBU: Pemain muda tempatan, Olivia Wong Yu Xuan, mencuri tumpuan pada Kejohanan Badminton Junior Zon Tengah Sarawak Energy 2026 selepas meraih dua gelaran dalam kategori bawah 15 tahun.

Olivia muncul juara perseorangan perempuan bawah 15 tahun, selain menjuarai acara beregu perempuan bawah 15 tahun bersama gandingannya, Samantha Kong Zi Yann.

Dalam acara perseorangan, Olivia menewaskan Jolene Goh Jiabao yang menduduki tempat kedua, manakala Hailey Hii Wen She dan Abbie Wong Sin Shiu berkongsi tempat ketiga.

Gandingan Olivia-Samantha pula menjuarai acara beregu perempuan, diikuti Abbie Wong Sin Shiu-Hailey Hii Wen She di tempat kedua.

Tempat ketiga acara itu dikongsi gandingan Kimi Wong Zi En-Rhea Tang Q Mee serta Jenny Leong Siew Chan-Kaylee Ashlynn Binti Nicholas.

Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Sarawak itu berlangsung dari 4 hingga 6 September 2026 di Sibu, membabitkan kategori bawah sembilan hingga bawah 15 tahun.

Selain Olivia, pemain lain turut berpeluang mencipta nama selepas kejohanan itu menawarkan laluan ke peringkat lebih tinggi menerusi pemilihan pemain untuk mewakili Zon Tengah.

Pemain yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir berpeluang dipilih untuk mewakili Zon Tengah pada pusingan akhir Sarawak Energy Junior yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada Disember 2026.

Kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan persaingan untuk merebut gelaran, malah membuka ruang kepada pemain muda menguji kemampuan, menimba pengalaman dan memburu peluang beraksi di pentas akhir negeri.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Adli Ali Akebar yang mewakili Pengurus Sarawak Energy Berhad (SEB) Wilayah Tengah, Jabu Ngumbang.

Turut hadir Presiden Persatuan Badminton Sibu (SBA), Ting Wei Ping.

Oleh Tarani Lanting