
PARIS: Oliver Oakes meletak jawatan Ketua Pasukan Formula Satu (F1) Alpine selepas hanya sembilan bulan memegang jawatan, manakala veteran sukan permotoran Flavio Briatore akan mengambil alih, lapor PA Media/dpa.
Oakes, 37, dari Britain, dilantik pada Ogos lalu dan merupakan ketua pasukan termuda dalam saingan F1 ketika itu.
Keputusan mengejutkan itu berlaku ketika pelumba baharu Jack Doohan dijangka digantikan oleh Franco Colapinto selepas hanya enam perlumbaan musim ini.
Alpine dalam kenyataan memaklumkan bahawa tugas-tugas Oakes kini akan diambil alih oleh Pengarah Eksekutif, Briatore.
Warga Itali berusia 75 tahun itu pernah dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sukan itu susulan skandal ‘Crashgate’ apabila pasukan Renault didakwa mengatur keputusan Grand Prix Singapura 2009 bagi membolehkan Fernando Alonso meraih kemenangan.
Namun, larangan itu kemudian dibatalkan oleh sebuah mahkamah di Perancis.
“Pasukan Formula Satu BWT Alpine mengumumkan bahawa Oliver Oakes meletakkan jawatan sebagai Ketua Pasukan. Pasukan menerima peletakan jawatan itu serta-merta.
“Mulai hari ini, Flavio Briatore akan meneruskan peranan sebagai Penasihat Eksekutif dan turut mengambil alih tugas-tugas yang sebelum ini dijalankan oleh Oliver Oakes.
“Pasukan ingin merakamkan penghargaan kepada Oliver atas usaha dan sumbangannya sejak menyertai pasukan pada musim panas lalu, termasuk membantu pasukan menamatkan saingan di tempat keenam Kejuaraan Konstruktor F1 2024.
“Pasukan tidak akan mengeluarkan sebarang komen lanjut,” menurut kenyataan pasukan Perancis itu.
Alpine kini berada di kedudukan kesembilan daripada 10 pasukan dalam kedudukan keseluruhan dengan hanya tujuh mata diperoleh dalam enam perlumbaan pertama.
Doohan dijangka digugurkan dan Colapinto bakal menyertai pasukan menjelang perlumbaan seterusnya di Imola pada 18 Mei.– Bernama-Pa Media/dpa