KUCHING: Kerajaan Itali menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan kewangan kepada Sarawak bagi melaksanakan projek nyah karbon.
Duta Itali ke Malaysia, Dr. Massimo Rustico berkata sokongan kewangan ini akan disalurkan melalui agensi kredit eksport kerajaan Itali iaitu SACE (Servizi Assicurativi del Commercio Estero) sebagai sebahagian komitmen Itali dalam memacu agenda global menangani perubahan iklim.
“Kerajaan Itali, melalui SACE, bersedia membantu Sarawak secara kewangan kerana kami memahami keperluan besar dalam merealisasikan visi ini.
“Perbincangan antara wakil kami dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak akan memastikan sokongan ini dapat dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Acacia Power Sdn Bhd dan Nextchem di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Rustico berkata, dekarbonisasi adalah keutamaan kerajaan Itali, seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Itali pada Sidang Kemuncak G20 di Rio baru-baru ini.
“Sarawak mempunyai potensi besar dalam melaksanakan projek tenaga hijau ini. Kami bangga dapat bekerjasama dan menyokong negeri ini untuk mencapai matlamatnya,” katanya.
Dr. Rustico juga menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk kedua-dua pihak, manakala Itali dan Sarawak saling bertukar kepakaran serta teknologi dalam usaha mencapai pembangunan mampan.
“Kami belajar dari Sarawak, dan pada masa sama kami mahu berkongsi kepakaran kami. Ini adalah komitmen dua hala yang akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT