KUCHING: Nurjehan Salleh dari Samarahan memenangi hadiah utama kempen Gawai tahunan MAGGI® Jom Masak & Menang Bersama, sekali gus membawa pulang sebuah Ford Ranger XL edisi terhad.
Pengumuman itu dibuat pada kemuncak sambutan kempen berkenaan di Pusat Beli-Belah Vivacity, di sini.
Ford Ranger XL edisi terhad yang dimenangi Nurjehan menampilkan rekaan khas berasaskan motif tempatan Sarawak.
Pada masa yang sama, MAGGI® turut meneruskan sokongan terhadap komuniti Sarawak menerusi sumbangan RM15,000 kepada Helping Hands Penan yang disaksikan oleh Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.
Sumbangan itu akan menyokong pendidikan bulanan 55 pelajar Penan selama tiga bulan, termasuk kos pengangkutan, peralatan sekolah, penginapan dan perbelanjaan harian.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata, sambutan Gawai menjadi platform untuk meraikan nilai kekeluargaan, makanan tradisi dan semangat komuniti yang menyatukan rakyat Sarawak.
“Peranan kami bukan untuk mengubah makanan dan tradisi yang disayangi masyarakat, tetapi untuk memberikan keyakinan kepada generasi muda agar mereka dapat meneruskan warisan tersebut.
“MAGGI® turut bekerjasama dengan tokoh kulinari tempatan seperti Karen R. Yap di Sarawak dan Chef Melvin Gatu di Sabah bagi menggalakkan generasi muda menghayati rasa, kisah dan ilmu memasak yang diwarisi daripada generasi terdahulu,” katanya.
Kempen Gawai MAGGI® tahun ini turut membawa mesej mengenai kepentingan generasi muda mengenali warisan kulinari serta memainkan peranan dalam memastikan tradisi budaya terus diwarisi.
Oleh Masrin Affirah



