LAWAS: Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) menyumbang peralatan yang diperlukan untuk pemberian vaksin Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Lawas dan Pejabat Daerah Lawas pada petang Khamis.
Sumbangan ini adalah satu program tanggungjawab sosial yang diambil oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di mana NRDA merupakan satu agensi di bawah seliaannya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga merupakan pengerusi NRDA menyaksikan upacara penyampaian sumbangan tersebut yang diserahkan oleh pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip kepada Pegawai Kesihatan Lawas, Dr. Farida Nazahiya Mohd Salleh di Kampus Lawas Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas, Dato’ Henry Sum Agong yang juga merupakan ahli lembaga NRDA, dan Residen Limbang, Ahmad Denney Ahmad Fauzi. Pejabat Daerah Lawas diwakili oleh Setiausaha Pejabat Daerah, Zulkifli Sahari.
Sumbangan ini terdiri daripada peti sejuk vaksin, 12 kotak peralatan kecemasan, lapan kotak sejuk, dua pendingin hawa, tiga pendingin hawa mudah alih, 12 kerusi, lima tandas bergerak, empat komputer mudah alih, bungkusasn ais dan satu projektor.
Sumbangan ini akan digunakan untuk membantu di dalam mempermudahkan proses pemberian vaksin di kalangan komuniti di Lawas.
NRDA adalah satu agensi di bawah RECODA yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek sosio-ekonomi dan infrastruktur di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di samping mempromosi serta menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan di SCORE.