KABONG, 29 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh menyeru semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya berganding bahu menyokong GPS bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan di kawasan Kabong.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kepimpinan masyarakat, NGO dan rakyat amat penting dalam merealisasikan pelbagai perancangan pembangunan demi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurutnya, pembangunan Kabong memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak tanpa mengira latar belakang bagi memastikan setiap usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya berharap KMKK dan NGO dapat bersama-sama memberikan sokongan kepada calon GPS demi meneruskan kesinambungan pembangunan di Kabong.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk membangunkan Kabong agar kawasan ini terus maju serta menikmati manfaat pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan perjumpaan bersama KMKK dan NGO Kabong yang turut dihadiri bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, pagi tadi.
Nor-E turut menegaskan bahawa kesinambungan kepimpinan di bawah GPS penting bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat diteruskan.
Katanya, sokongan padu masyarakat setempat akan menjadi kekuatan untuk merealisasikan aspirasi pembangunan yang lebih menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas, infrastruktur dan taraf hidup penduduk.
Nor-E berharap seluruh masyarakat Kabong dapat menggembleng tenaga serta mengekalkan semangat perpaduan demi memastikan kawasan itu terus berkembang.
“Matlamat kita adalah sama, iaitu melihat Kabong terus membangun dan rakyatnya menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Marilah kita bersama-sama menjayakan agenda pembangunan ini demi masa depan Kabong,” katanya.
Oleh Adi Safarman



