LIMBANG: Pandemik Covid-19 yang melanda tidak menghalang Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63 tahun dihidupkan dengan semangat cintakan negara dan patriotisme.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, nilai patriotisme merupakan sebahagian daripada nilai murni perlu dipupuk.
Jika ini dijiwai dan diamalkan mampu menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
Beliau menyatakan demikian pada Pertandingan Lagu-lagu Patriotrik RTM Limbang bersama Rakan Strategik (Hotel Purnama dan Tremendous Cafe dan Penghargaan Kepada Barisan Hadapan Covid-19 di Hotel Purnama Limbang.
Turut hadir, isteri kepada Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,
Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pengurus Stesen RTM Limbang Yahya Sulaiman.
Awang Tengah merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Dua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, rakyat harus menerima dan mengadaptasikan norma baharu dalam kehidupan seharian.
Oleh itu kerjasama amat diperlukan daripada semua pihak dengan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri di tempat kerja, tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah pada setiap masa demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan komuniti.
Seterusnya beliau menyeru rakyat agar terus mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, sekolah, bangunan kerajaan serta di premis perniagaan masing-masing bagi menzahirkan rasa cinta kita kepada negara kita, Malaysia.
Bagi generasi muda, beliau menyeru agar semua dapat menanam di jiwa mereka bahawa inilah salah satu cara menunjukkan rasa hormat kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap pelosok negara.
Pada masa sama katanya selain menyambut bulan kemerdrkaan rakyat tidak lupa kepada pengorbanan barisan hadapan yang berperang memutuskan rantaian Covid-19.
Golongan media berbagai medium termasuk RTM juga merupakan salah satu entiti barisan hadapan yang tidak putus dengan liputannya semasa negara menghadapi pandemik Covid-19.
Oleh Adeng Edrus