CHERYL LAW
KUCHING: Mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada Isnin telah mengambil keputusan bahawa ‘ngabang’ ketika sambutan Hari Gawai Dayak tidak akan dibenarkan.
Sekretariat JPBN Sarawak menerusi kenyataannya berkata, ‘ngabang’ tersebut termasuk bagi mereka yang mahu ngabang dari rumah ke rumah dan dari sebuah rumah panjang ke rumah panjang yang lain.
Sementara itu, JPBNS berkata, semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan yang telah balik baru-baru ini, diminta untuk menjalani saringan Covid-19 di bahagian masing-masing.
“Mereka akan dihubungi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan ini adalah bagi pelajar yang belum membuat saringan Covid-19,” kata kenyataan itu pada Isnin lalu.
Menurut Sekretariat JPBNS, JPBB bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkatkan keupayaan pasukan penjejakan kontak untuk membolehkan mereka dapat mengesan dengan secepat mungkin kontak rapat kepada kes positif yang baharu.
“Semua pelajar yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah diminta untuk terus berada di rumah dan tidak dibenarkan keluar, “ menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, sekiranya didapati berada di tempat awam, mereka akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa dibawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999: Perintah Perlindungan Kesihatan Awam (Langkah-langkah Menjalankan Aktiviti di Kawasan Jangkitan Tempatan) (No. 2), 2020 bertarikh 13 Mei.
“Dibuat di bawah seksyen 15: 3, sesiapa mungkin diminta untuk mematuhi sebarang langkah ditentukan oleh menteri untuk tujuan pemantauan pergerakannya di dalam negeri.
“Kedua, ukuran di para (1) di atas mungkin termasuk penggunaan penandaan elektronik atau cara lain seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dengan kelulusan menteri,” katanya.