MUNICH: Penjaga gol Bayern Munich Manuel Neuer memberi bayangan bahawa musim akan datang berkemungkinan menjadi musim terakhir dalam karier profesionalnya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Neuer, 40, berkata beliau tidak akan menganggap setiap perlawanan sebagai penampilan perpisahan, namun mengakui persaraannya selepas musim ini “sangat berkemungkinan.”
Neuer, yang membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014, bakal mengharungi musim ke-21 dalam karier profesional selepas akhirnya bersetuju melanjutkan kontrak bersama Bayern.

“Dalam kira-kira 85 peratus keadaan, saya mungkin sudah berhenti.
“Namun, bersama pasukan ini, barisan kakitangan dan pasukan kejurulatihan, semuanya sangat menyeronokkan.
“Kami sentiasa berpeluang bersaing untuk setiap kejuaraan dan skuad ini berada pada tahap tertinggi,” katanya pada Selasa ketika Bayern memulakan persiapan pramusim.
Menurut Neuer, pasukan dan struktur di Bayern menjadi “15 peratus” yang meyakinkannya untuk terus beraksi.
Beliau juga dijangka memainkan peranan dalam membantu perkembangan Jonas Urbig, 22, yang dilihat sebagai pengganti jangka panjangnya dan berkemungkinan menerima lebih banyak minit permainan musim ini.
“Saya fikir keadaannya akan sama seperti musim lalu. Kami akan saling menyokong,” katanya, sambil turut merujuk kepada Sven Ulreich serta penjaga gol muda Bayern yang lain.
Neuer bersara daripada pentas antarabangsa selepas Jerman tersingkir daripada Piala Dunia. – Bernama-dpa





