KENANGAN… Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergambar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Dato Sri Fatimah Abdullah dan Persekutuan Institut Wanita Sarawak (SFWI) pada Majlis Perasmian Persidangan Ke-13
Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh, kelmarin.
KUCHING: Golongan wanita perlu terus diperkasakan kerana negara memerlukan kuasa wanita untuk menubuhkan kerajaan, titah
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh anjuran Persekutuan Institut Wanita Sarawak (SFWI) di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam, wanita juga memainkan peranan utama dalam kerajaan.
“Sebagai contoh, di Sarawak hampir separuh daripada populasi terdiri daripada wanita. Memperkasakan golongan wanita adalah penting berikutan separuh daripada pengundi adalah wanita,” katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam rakaman ucapannya yang disiarkan di persidangan itu berkata, Sarawak mempunyai populasi 2.6 juta, hampir separuh daripada populasi terdiri daripada wanita.
“Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada wanita Sarawak untuk membangunkan kapasiti, keupayaan dan kecekapan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita sangat berbakat dan tangkas dalam membantu mencapai matlamat pembangunan Sarawak.
Abang Johari percaya, Persidangan ACWW ini adalah platform untuk semua wanita berkongsi maklumat dan pengetahuan, bertukar pengalaman, rangkaian untuk memajukan masyarakat dan negara.
Seramai 202 perwakilan wanita dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura serta Malaysia menyertai persidangan tiga hari ini yang bermula 4 hingga 6 Julai di Kuching.
Perwakilan Malaysia terdiri daripada Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.
Tujuan Persidangan ACWW ialah mendedahkan pembelajaran baharu dan berkongsi pengetahuan melalui lawatan pleno dan pendidikannya, membentangkan maklumat dan penemuan melalui mesyuarat kawasan dan laporan persatuan serta membina rangkaian dan membentuk kerjasama dengan wanita dari dalam dan luar negara.
Majlis semalam turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Oleh NUR AIN OTSMAN