LAWATAN… Dato Sri Dr Sim Kui Hian menandatangani buku pelawat semasa melawat pameran yang disediakan sempena Karnival Kesihatan KOSPEN WOW Hospital Umum Sarawak di Hospital Umum Sarawak, semalam
KUCHING: Penyakit tidak berjangkit (NCD) dilaporkan sebagai punca utama kematian di Malaysia termasuk Sarawak tanpa mengira jantina.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian memberitahu penyakit NCD yang paling umum di negara ini ialah serangan jantung yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dan strok manakala kanser menduduki tempat kedua punca kematian di negara ini.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan Laporan Status Global pada 2014, data menunjukkan NCD menyumbang 68 peratus daripada punca utama kematian di dunia pada tahun 2012.
“80 peratus kematian akibat NCD berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia di mana suku daripada jumlah kematian ini adalah dalam kalangan lelaki dan wanita berumur kurang daripada 60 tahun,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Karnival Kesihatan KOSPEN WOW Hospital Umum Sarawak di Auditorium Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC), Hospital Umum Sarawak, di sini, semalam.
Tambahnya lagi, berdasarkan data Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2019, prevalens penyakit NCD dan faktor risiko dalam kalangan rakyat Malaysia dewasa adalah tinggi di mana satu dalam lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan setinggi tiga daripada 10 rakyat Malaysia menghidap hipertensi.
“Keadaan ini membimbangkan dan perlu ditangani bukan sahaja kerana kos rawatan penyakit yang semakin meningkat malah mereka yang menghidap penyakit NCD yang tidak terkawal boleh menyebabkan produktiviti mereka terganggu.
“Kos rawatan NCD selalunya berpanjangan dan akan membebankan majikan dan juga kakitangan itu sendiri yang akhirnya boleh membebankan ekonomi negara dan menyebabkan pembangunan negara yang kita capai juga boleh merosot.
“Sehubungan itu, kos ini menjadi lebih rendah jika penyakit NCD dikesan dan dirawat lebih awal atau terus dicegah daripada berlaku,” ujarnya.
Menjelas lanjut mengenai program tersebut, beliau yang juga Timbalan Premier berkata ia merupakan inisiatif baik yang dilaksanakan dalam usaha memberi pendedahan dan pengetahuan kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, KOSPEN merupakan program pencegahan penyakit NCD dalam kalangan masyarakat dan telah dilaksanakan secara meluas di seluruh negara dan sejak 2016, Kerajaan memperluas program tersebut serta menyasarkan pekerja dan majikan melalui penjenamaan KOSPEN WOW.
Oleh RYNNA SHA’ERRA