
KUCHING: Kerjasama strategik antara sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan terus diperkukuh dalam usaha memartabatkan pembangunan sukan dan warisan budaya di bandar raya ini.
Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini menerima sumbangan tajaan berjumlah RM20,000 daripada Natural Avenue Sdn. Bhd. bagi menyokong penganjuran Persembahan Seni Pertahankan Diri Festival Kuching 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
Sumbangan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain mengukuhkan hubungan jangka panjang bersama MBKS yang telah terjalin lebih 25 tahun.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyifatkan sumbangan tersebut sebagai bukti keprihatinan sektor swasta dalam menyokong agenda pembangunan komuniti setempat melalui penganjuran acara berimpak tinggi.

“Kerjasama seperti ini amat penting dalam memastikan Festival Kuching terus kekal relevan, inklusif dan menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum di bandar raya ini,” katanya pada sidang media penyerahan tajaan tersebut.
Beliau berkata, Persembahan Seni Pertahankan Diri Festival Kuching 2026 akan berlangsung pada 14 Ogos nanti bermula 7.00 malam hingga 10.00 malam di Stadium Hoki Sarawak.
Acara itu bakal menampilkan pelbagai persembahan seni pertahankan diri tempatan dan antarabangsa termasuk Silat, Taekwondo, Wushu, Judo, Muay Thai, Taiji, Kuntau, Wing Chun Kuen dan Qi Gong yang mencerminkan kepelbagaian disiplin serta falsafah seni tersebut.
Menurut beliau, setiap persembahan bukan sahaja mempamerkan kehebatan fizikal, malah membawa nilai disiplin, hormat, ketahanan diri dan perpaduan.
“Acara ini bukan sekadar hiburan, tetapi wadah memperkukuh jalinan perpaduan masyarakat melalui sukan dan budaya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Penyerahan Tajaan Festival Seni Pertahankan Diri Festival Kuching 2026 di sini, hari ini.
Sidang media tersebut turut dihadiri wakil Jawatankuasa Penganjur Festival Kuching 2026, pengurusan Natural Avenue Sdn. Bhd., serta wakil Sarawak Turf Club dan Ahli Majlis MBKS.
Beliau turut mengajak orang ramai hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara berkenaan yang merupakan sebahagian daripada Festival Kuching 2026 yang berlangsung dari 22 Julai hingga 16 Ogos 2026.
Oleh Norman B