KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri tidak gentar walaupun ditempatkan di kawasan baharu setelah berpindah dari kawasan Batang Sadong.
Malah, beliau sedar ada orang yang akan menjadi barisan hadapan bagi membantunya berkempen untuk memenangi kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya agak gementar ketika menanti keputusan penempatan saya. Kerana pada saat akhir, sehari sebelum penamaan calon barulah saya dimaklumkan bahawa saya akan bertanding di Parlimen Santubong.
“Dari segi perancangan tugas, bagi saya tidaklah begitu sukar kerana sistem yang dijalankan oleh GPS adalah sangat sistematik iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dimaklumkan dimana mereka mengambil tanggungjawab tersebut secara menyeluruh.
“Pihak parti mengambil tanggungjawab untuk menjalankan tugasan politik kerana tanggungjawab untuk memenangi kerusi ini adalah tanggungjawab semua.
” Jadi saya sebagai calon Parlimen tidaklah berasa gentar sangat kerana saya tahu akan ada barisan hadapan bagi memastikan kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Ramah Mesra bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.4 Pantai Damai di Waterfront Hotel di sini petang ini.
Menurut Nancy, beliau juga mempunyai semangat yang bekobar-kobar untuk menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen itu.
“Oleh sebab itu, saya memerlukan sokongan padu daripada pengundi, maka dengan itu saya memerlukan ADUN saya yang akan membantu menjalankan tugas.
” Namun begitu, sebagai orang yang dicalonkan saya perlu banyak menjalankan beberapa pembacaan bagi mengenali kawasan itu kerana selama ini ketiga-tiga penggal saya sering ke kawasan luar bandar dan kurang mengetahui apa yang berlaku di kawasan bandar.
” Saya bersyukur untuk menjadi wakil rakyat di Santubong kerana tugas memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat telah dilakukan oleh ketiga-tiga ADUN dibawah Parlimen Santubong.
“Kalau tidak mereka tidak meraih pretasi tertinggi di Sarawak,”katanya.
Parlimen Santubong merangkumi DUN Demak Laut, DUN Pantai Damai dan DUN Tanjung Datu.
Hadir sama ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
Oleh SHAHRUL QAIZAT