KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Nancy Shukri menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini.
Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi. Pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dalam satu kenyataan, Nancy berkata beliau menerima perkhabaran mengenai pemergian Allahyarhamah dengan penuh kesedihan, sambil mengenang pertemuan mereka pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) awal bulan ini.
“Saya masih teringat Tun Siti Hasmah bermain biola pada majlis itu. Pada usia 100 tahun, Tun Siti Hasmah masih hadir bersama kami. Kenangan itu akan terus saya simpan,” katanya.
Nancy berkata sepanjang hayatnya, Tun Siti Hasmah sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir melalui pelbagai detik kehidupan dan perjuangan beliau, selain banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.
Menurutnya, sebagai seorang doktor, Allahyarhamah mengambil berat tentang kesihatan masyarakat, selain membawa suara wanita serta memperjuangkan kesejahteraan keluarga.
Nancy turut mengenang perjalanan kehidupan pasangan berkenaan yang masing-masing menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 dan ke-101 pada Julai lalu, sebelum meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada Ogos.
“Kisah mereka mengingatkan saya tentang kasih sayang dan kekuatan untuk terus bersama dalam susah dan senang,” katanya.
Beliau berkata Tun Siti Hasmah meninggalkan teladan besar menerusi peranannya sebagai sumber kekuatan kepada keluarga, di samping terus mencurahkan bakti kepada masyarakat dan negara.
“Semoga Allah SWT mengampuni dosa Allahyarhamah, menerima segala amal baiknya dan memberi kekuatan kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga menghadapi kehilangan ini.
“Al-Fatihah,” katanya.





