
SIBU: Projek menaik taraf Jalan Ling Kai Ching akan dimulakan sebaik sahaja keadaan banjir pulih.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata perbincangan mengenai cara memulakan kerja menaik taraf juga telah diadakan dengan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh.
Menurutnya, kerja naik taraf ini meliputi kawasan yang paling terjejas, dari permulaan jalan (Jalan Ling Kai Ching) hingga ke jambatan di hadapan Swan Square.
“Kawasan ini sering dilanda banjir dan menjejaskan penduduk di Ulu Sungai Merah, Teku dan Bawang Assan. Kita tidak mahu jalan ini terus lumpuh setiap kali banjir melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran kempen Jualan Bendera Tahunan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu 2025 di Star Mega Mall, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memohon kesabaran orang ramai kerana projek ini telah diluluskan, dan proses dokumentasi sedang diselesaikan.
“Beri saya sedikit masa, kami juga sedang menyediakan beberapa kertas kerja yang diperlukan sekarang. Harap-harap selepas banjir, kami dapat memulakan kerja-kerja menaikkan aras jalan raya.
“Saya juga akan terus melaporkan keadaan ini kepada pihak berkuasa peringkat atasan kami, terutamanya Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak. Saya akan menyampaikan mesej kepada JPBN Sarawak untuk memberikan maklumat terkini kepada kami jika perlu,” katanya.
Jaringan jalan tersebut kembali dinaiki air susulan hujan lebat berterusan beberapa hari lalu dan hanya dapat dilalui oleh kenderan berat.
Keadaan ini memaksa pengguna jalan raya mengambil jalan alternatif yang mengakibatkan beberapa jalan di sekitar pusat bandar Sibu mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.
Terdahulu, sebelum ini dilaporkan bahawa sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi menaikkan paras jalan sepanjang 780 meter di Jalan Ling Kai Cheng.
Tiang dilaporkan berkata, kerja naik taraf itu akan dibiayai di bawah bajet bantuan bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir ialah Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee.
Oleh Akun Giman