KUALA LUMPUR: MYAirline menawarkan harga tiket penerbangan tetap pada RM300 bagi semua laluannya antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur bersempena sambutan pesta menuai Kaamatan dan Gawai.
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, promosi yang merangkumi sehingga 4,000 tempat duduk, tidak termasuk bayaran lain yang ditetapkan untuk perjalanan sehala.
Promosi harga itu yang boleh ditempah mulai 20 hingga 31 Mei ini adalah bagi tempoh perjalanan pada 27 hingga 29 Mei ini bagi laluan Sabah serta 29 hingga 31 Mei ini bagi Sarawak.
Penumpang pesawat itu akan turut menikmati kemudahan bagasi daftar masuk seberat 20 kilogram.
“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menawarkan harga tambang tetap bagi penerbangan bersempena sambutan Kaamatan dan Gawai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo.
Menerusi tawaran harga asas tetap RM300 untuk tiket sehala, beliau berkata, MYAirline berharap dapat menyumbang kepada permintaan perjalanan serta mempromosi pengalaman budaya unik perayaan Kaamatan dan Gawai selama sebulan yang jatuh pada 1 dan 2 Jun ini.
Laluan penerbangan MYAirline bagi Malaysia Timur MYAirline termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Kuching, Sibu dan Miri. – Bernama