KUALA LUMPUR: MyAirline hari ini memohon maaf kepada penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat itu.
Eksekutif interim MyAirline Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu kini dalam proses mempercepatkan proses bayaran balik wang dan berharap kesemua penumpang MyAirline untuk bersabar.
“Kami juga sedang dalam usaha mewujudkan talian ‘hotline’ bagi membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik dan memudahkan proses bayaran balik, mereka (penumpang) digalakkan untuk menyediakan nombor tempahan mereka (PNR) dan e-melkannya kepada kami di customercare@myairline.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azharuddin berkata, kesemua pekerja MyAirline masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.
Menyentuh mengenai perkongsian strategik, beliau berkata, beberapa pihak telah pun menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat kini sedang menilai cadangan tersebut.
“Kami akan terus menyediakan maklumat terkini kepada penumpang yang kami hargai dan juga pihak berkepentingan lain,” katanya. – Bernama